JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta di SUKE, pemandu e-hailing ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 0.3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi–Ulu Kelang (SUKE Expressway), semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.56 petang ketika kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Ampang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu bergerak laju ketika memasuki laluan susur ke Ampang.

“Pemandu berkenaan telah memotong sebuah kenderaan di hadapan sebelum melanggar motosikal yang berada di lorong kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran itu, mangsa yang bekerja sebagai mekanik mengalami kecederaan parah di kepala selain putus lengan kiri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pemandu kereta yang juga pemandu e-hailing telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang trafik serta mengelakkan pemanduan berbahaya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 18 saat memaparkan mangsa terbaring tidak bergerak di atas jalan selepas dirempuh sebuah kereta berwarna biru di lebuh raya berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button