BERITA SEMASALUAR NEGARA

Serangan hospital di Sudan ragut 64 nyawa termasuk 13 kanak-kanak

KHARTOUM – Sekurang-kurangnya 64 orang terbunuh manakala 89 lagi cedera selepas sebuah hospital di Sudan diserang dalam kejadian terbaharu konflik di negara itu.

World Health Organization (WHO) memaklumkan, serangan pada Jumaat itu menyasarkan Hospital Pengajaran El-Daein di ibu negeri Darfur Timur, dengan 13 kanak-kanak antara yang terkorban.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, selain kanak-kanak, mangsa turut melibatkan dua jururawat wanita, seorang doktor lelaki serta beberapa pesakit.

“Cukup banyak darah telah ditumpahkan. Sudah tiba masanya konflik yang hampir tiga tahun ini dihentikan,” katanya di X.

Menurut kumpulan hak asasi tempatan, Emergency Lawyers, serangan itu dipercayai dilancarkan menggunakan dron tentera.

Dalam perkembangan sama, lapan kakitangan kesihatan turut cedera manakala beberapa unit utama hospital termasuk pediatrik, materniti dan kecemasan mengalami kerosakan teruk.

Akibatnya, hospital berkenaan kini tidak lagi beroperasi, sekali gus menjejaskan perkhidmatan perubatan asas kepada penduduk setempat.

Konflik di Sudan menyaksikan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menguasai wilayah Darfur di barat, manakala tentera kerajaan mengawal kawasan timur, tengah dan utara negara itu.

Bandar El-Daein yang dikuasai RSF dilaporkan kerap menjadi sasaran serangan tentera Sudan dalam usaha mengekang penguasaan kumpulan tersebut.

Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan menyifatkan serangan itu sebagai mengejutkan, sambil menegaskan kemudahan kesihatan tidak sepatutnya menjadi sasaran.

Sejak konflik tercetus pada April 2023, serangan terhadap kemudahan kesihatan terus meningkat dengan jumlah korban kini melebihi 2,000 orang.

Data Sistem Pemantauan Serangan ke atas Penjagaan Kesihatan WHO merekodkan sebanyak 2,036 kematian dalam 213 serangan setakat ini.

Menurut Tedros, serangan terhadap sektor kesihatan bukan sahaja meragut nyawa, malah memberi kesan jangka panjang kepada komuniti yang amat memerlukan rawatan.

“Penjagaan kesihatan tidak seharusnya menjadi sasaran. Keamanan adalah ubat terbaik,” katanya.

Konflik berkenaan turut menyebabkan lebih 11 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, selain mencetuskan krisis kemanusiaan terbesar dunia dengan lebih 33 juta orang memerlukan bantuan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button