BERITA SEMASA

Sambut Aidilfitri tanpa menghakimi, jaga hati dan adab – PHM

KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Aidilfitri esok, Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai agar menjaga adab dan sensitiviti ketika pulang ke kampung halaman, khususnya dalam berinteraksi dengan ahli keluarga.

Menerusi satu hantaran di media sosial, PHM menasihatkan agar beberapa sikap negatif ‘ditinggalkan di luar pagar’ sebelum melangkah masuk ke rumah ibu bapa pada pagi raya.

Antaranya termasuk kecenderungan membandingkan kehidupan, bertanyakan soalan sensitif serta keinginan untuk dilihat paling berjaya dalam kalangan keluarga.

“Tidak semua orang pulang beraya dengan hati yang lapang.

“Ada yang sedang berdepan tekanan hidup, masalah rumah tangga, masih mencari pekerjaan atau berusaha menjaga emosi anak-anak,” menurut perkongsian itu.

PHM turut mengingatkan bahawa di sebalik senyuman ketika berkumpul di meja makan, mungkin ada ahli keluarga yang sedang menanggung beban perasaan dan berjuang secara senyap.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan mengelakkan topik perbandingan seperti kenaikan pangkat, pencapaian anak-anak atau persoalan mengapa seseorang belum mencapai sesuatu dalam hidup mereka.

“Kadang-kadang orang tidak perlukan nasihat, mereka hanya perlukan ruang yang tidak menghakimi,” jelas PHM.

Tambahnya, Aidilfitri seharusnya menjadi ruang untuk berehat dan memulihkan hubungan, bukannya medan yang membuatkan seseorang berasa rendah diri.

“Raya bukan tentang siapa paling berjaya, tetapi tentang siapa paling pandai menjaga hati,” kata hantaran itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button