JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki ditahan cuba curi kabel landasan KTMB

KLANG – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba mencuri kabel landasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan Klang–Bukit Badak, di sini semalam.

Suspek ditahan anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Polis Bantuan KTMB ketika melakukan rondaan di kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kecurian kabel.

KTMB betkata, kejadian berlaku di Kilometer 33.75 apabila suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan menemukan segulung kabel sepanjang kira-kira 10 meter, dua klip landasan milik KTMB serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memotong kabel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut di lokasi turut mendapati kabel sistem Automatic Train Protection (ATP) telah dipotong.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, KTMB memaklumkan perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Sehubungan itu, KTMB melalui Pasukan Polis Bantuan akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan keselamatan infrastruktur landasan serta kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 atau memaklumkan kepada pihak polis bagi tindakan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button