BERITA SEMASAPMX

Kerajaan peruntuk RM1.525 juta kepada lima pondok, pusat tahfiz di Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.525 juta kepada lima institusi pondok dan pusat tahfiz di Sabah bagi menaik taraf kemudahan serta memperkenalkan elemen pendidikan digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu bertujuan memperkasa institusi pendidikan Islam tradisional supaya terus relevan dengan perkembangan teknologi semasa tanpa menjejaskan tradisi pengajian pondok.

Beliau berkata, institusi pondok dan tahfiz perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia termasuk kemajuan teknologi dan penggunaan AI.

“Pondok boleh terus jalankan kurikulum sedia ada dan kerajaan tidak campur tangan, tetapi kita tambah penguasaan bahasa, sejarah serta pendidikan digital termasuk kecerdasan buatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Lima institusi yang menerima peruntukan itu ialah Pondok Pesantren Nurul Ihsan dan Pondok Miftahussalam di Sandakan; Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Babussalam serta Pondok Al-Hasyimi di Kudat dan Pondok Fii Dzilalil Quran di Kota Belud.

Anwar berkata, kerajaan juga tidak akan mengubah kurikulum tradisional institusi berkenaan, namun mencadangkan semua institusi pendidikan termasuk sekolah agama memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah negara.

Beliau turut mengakui keputusan kerajaan pada 2003 yang menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat telah memberi kesan kepada institusi berkenaan.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan ketika ini mengambil pendekatan berbeza dengan meneliti semula keperluan institusi tersebut yang memainkan peranan penting dalam pendidikan masyarakat.

“Di negara kita jumlah pelajar di maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat mencecah lebih 400,000 orang, mungkin hampir setengah juta.

“Sebab itu kita fikir semula keputusan lama dan berpendapat lebih baik kita bantu serta perbaiki apa yang perlu,” katanya memetik laporan Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi, termasuk meningkatkan kemudahan asas bagi peniaga kecil seperti gerai, warung dan restoran yang menjadi tumpuan majoriti rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button