Berita Semasa

Perdana Menteri terima penghargaan Bangsamoro

KUALA LUMPUR – Parlimen Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro (BTA) merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha damai Bangsamoro di Mindanao.

Dokumen pengiktirafan bertarikh 20 Mac 2023 itu disampaikan melalui Resolusi Bo.318 dari BTA yang dikongsikan Perdana Menteri dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Anwar berkata, beliau mengambil maklum mengenai penghargaan dan juga resolusi daripada BTA yang berpangkalan di Selatan Filipina terhadap komitmen Kerajaan Malaysia dalam Proses Damai Mindanao.

“Seperti yang saya zahirkan sebelum ini, proses damai ini harus berjaya bukan sahaja demi kemaslahatan Malaysia dan Filipina, malah seluruh rantau ini juga.

“Malaysia akan terus menyokong usaha pimpinan Presiden Marcos Jr. untuk memastikan proses damai di Mindanao mencapai objektifnya,” katanya.

Dokumen Resolusi No 318 yang dihantar oleh BTA kepada Perdana Menteri.

Menurut Anwar, pihak Bangsamoro juga telah menyatakan kesudian untuk memberi bantuan pembinaan keupayaan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat Bangsamoro yang akan menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Kerajaan ketika menerima kunjungan Presiden Filipina pada 26 Julai lalu bersetuju untuk mengkoordinasi usaha membangunkan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Selatan Filipina sebagai antara inisiatif memperkasakan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Show More

Related Articles

Back to top button