BERITA SEMASAPOLITIK

Hamzah Zainudin tidak berhasrat kembali sertai UMNO

PUTRAJAYA – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak berhasrat untuk kembali menyertai UMNO walaupun parti itu membuka peluang kepada bekas ahlinya untuk kembali tanpa sebarang syarat.

Menurut beliau, keutamaannya kini adalah untuk memperkukuh kerjasama antara semua pihak bagi melaksanakan agenda pembaharuan negara demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, usaha merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat perlu diteruskan tanpa mengira latar belakang parti politik.

“Saya bersyukur kerana majlis pada malam ini mendapat sambutan yang baik. Program seperti ini dianjurkan bagi mengeratkan silaturahim antara semua pihak.

“Apabila saya menyebut soal merapatkan silaturahim, ia melibatkan semua parti politik tanpa pengecualian, termasuk UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang di sini, hari ini.

Baca juga : Hamzah dijangka terajui Parti Keluarga Malaysia

Turut hadir beberapa pemimpin Perikatan Nasional termasuk Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau serta Ahli Parlimen Pendang daripada PAS, Datuk Awang Hashim.

Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memecat keahlian Hamzah Zainudin kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO membuka ruang kepada bekas ahlinya yang pernah digantung atau dipecat untuk kembali menyertai parti berkenaan tanpa dikenakan sebarang syarat.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pelawaan tersebut dibuat menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang turut membuka pintu kepada mana-mana individu yang ingin bersama memperjuangkan parti itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button