BERITA SEMASASUKAN

All England 2026: Pencapaian Aaron-Wooi Yik wajar dibanggakan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap berbangga dengan pencapaian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meskipun pasangan itu sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham, awal pagi tadi.

Hasrat pasangan nombor dua dunia itu untuk menamatkan kemarau gelaran di kejohanan berprestij berkenaan pada percubaan ketiga tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Dalam aksi final yang berlangsung di Arena Birmingham, Aaron-Wooi Yik bermula baik dengan memenangi set pertama 21-18, namun gagal mengekalkan momentum sebelum tewas 12-21, 19-21.

Kekalahan tersebut menyaksikan pasangan negara itu sekali lagi terlepas peluang menjulang gelaran Seluruh England selepas turut muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian Aaron-Wooi Yik yang berjaya mara ke pentas final sebanyak tiga kali di kejohanan berprestij itu tetap sesuatu yang membanggakan.

Menurutnya, Seluruh England merupakan antara kejohanan badminton paling berprestij di dunia sejak diperkenalkan pada 1899 dan bukan mudah untuk mana-mana pemain mengekalkan prestasi konsisten di pentas tersebut.

“Sejak 2019, mereka sudah tiga kali mara ke final All England. Bukan mudah untuk kekal konsisten di tahap ini. Ramai pemain hebat dunia pun tidak pernah sampai walau sekali.

“Hari ini mungkin belum rezeki, tetapi perjalanan mereka masih panjang. Teruskan percaya, teruskan berjuang. Malaysia tetap bangga,” katanya dalam satu kenyataan di Faceboook hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button