BERITA SEMASAPMX

Anwar sertai ratusan jemaah solat jenazah Syed Muhammad Naquib Al-Attas

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai ratusan jemaah bagi menunaikan solat jenazah tokoh pemikir Islam tersohor, Allayarham Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Masjid Al-Taqwa TTDI, di sini hari ini.

Anwar yang tiba kira-kira pukul 11.25 pagi turut memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum solat jenazah dilaksanakan.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Zulkifli Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi serta bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar.

 Allahyarham Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Solat jenazah itu diimamkan oleh anak Allahyarham, Syed Ali Tawfik Al-Attas.

Turut hadir menzahirkan penghormatan terakhir ialah Tengku Ampun Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata, beliau mengenali Allahyarham secara peribadi sejak sekian lama dan pernah bekerjasama dalam beberapa penerbitan ilmiah ketika memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Menurutnya, antara karya penting yang diterbitkan ketika itu termasuk Islam and Secularism serta Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu.

“Sumbangan beliau amat besar. Ketika saya bersama ABIM dahulu, kami membawa beliau ke seluruh negara untuk berkongsi ilmu dan pemikiran beliau,” katanya.

Anwar berkata Allahyarham kemudiannya terus memberikan sumbangan besar dalam dunia akademik, antaranya ketika berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), International Islamic University Malaysia (IIUM) serta International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC).

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negara, malah kepada dunia Islam,” katanya memetik laporan Bernama.

Gambar kenangan Perdana Menteri bersama Allahyarham Syed Muhammad Naquib.

Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan menerima ratusan ucapan takziah daripada pemimpin dan sarjana dari luar negara termasuk dari Turkey, Iraq dan Pakistan.

Beliau berkata, penganugerahan gelaran Profesor Diraja oleh Sultan Ibrahim pada Oktober 2024 merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar Allahyarham dalam pembangunan pendidikan Islam di Malaysia.

Hanya seorang lagi tokoh akademik pernah menerima gelaran tersebut sebelum ini iaitu Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978.

Dilahirkan di Bogor, Indonesia, Syed Muhammad Naquib meninggal dunia pada pukul 6.47 petang semalam pada usia 94 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri, Latifah Abdullah serta empat anak iaitu Sharifah Faizah Al-Attas, Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Sharifah Shifa Al-Attas dan Syed Haidar Al-Attas.

Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button