Rumah terbakar awal pagi, kanak-kanak 9 tahun rentung
KUCHING – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dalam keadaan tragis selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Taman Sentosa Indah, Sri Aman di sini, awal pagi tadi.
Mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat atas kediaman berkenaan selepas api marak dengan pantas sehingga memusnahkan keseluruhan rumah tersebut.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 3.02 pagi.
Menurut kenyataan itu, ketika kejadian, terdapat enam individu berada di dalam rumah berkenaan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman yang bergegas ke lokasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat yang telah musnah sepenuhnya.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung di tingkat atas rumah tersebut sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam kejadian sama, seorang wanita berusia 41 tahun dan seorang lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan melecur pada beberapa bahagian badan sebelum dihantar mendapatkan rawatan di hospital.
Sementara itu, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita berusia 40 tahun, remaja perempuan berusia 13 tahun dan remaja lelaki berusia 15 tahun yang melecur pada bahagian kaki turut dikejarkan ke hospital oleh orang awam.
Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Sri Aman, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








