Pemandu ‘lalok’ rempuh motosikal, dua beranak maut di Muar
MUAR – Dua beranak maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda oleh seorang pemandu yang berada dalam keadaan ‘lalok’ di bawah dadah di Jalan Rencong, Lenga, di sini awal pagi semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kemalangan berlaku pada pukul 8.42 pagi membabitkan motosikal dinaiki Norman Ahmad, 47, dan bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77, serta sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
Katanya, siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun dari arah ke Lenga telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa di selekoh.
“Kedua-dua penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan di kepala dan badan serta meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut ke atas pemandu pacuan empat roda itu menjumpai 20 biji pil eramin 5 seberat 5.15 gram dan syabu seberat 0.39 gram.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati pemandu terbabit positif methamphetamine.
“Suspek telah ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12(2) A dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau,” katanya.
Menurut Raiz Mukhliz, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Muar dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







