Anwar tarik rayuan rujuk lapan persoalan undang-undang, diarah bayar kos RM50,000 kepada Yusoff Rawther
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk isu sama ada beliau mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther selaku responden berhubung satu insiden yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri, lapan tahun lalu.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan, di sini hari ini, peguam Anwar, Sanjay Mohan memberitahu, pihaknya memohon untuk menarik balik rayuan tersebut dan perkara itu sudah memaklumkan kepada responden.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Wong Kian Kheong bersama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar kemudian membatalkan rayuan tersebut.
Berikutan penarikan rayuan itu, peguam Sanjay menawarkan kos sebanyak RM15,000 kepada Muhammed Yusoff.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Rafique Rashid yang mewakili Muhammed Yusoff memohon kos RM150,000 atas alasan melibatkan pertukaran peguam cara, masa mahkamah, prosiding di Mahkamah Tinggi serta hujahan bertulis.
BACA JUGA:
Keputusan mahkamah tolak permohonan PM tanda kesamarataan, kebebasan kehakiman
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, panel tiga hakim sebulat suara memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM50,000, yang perlu diselesaikan sebelum 5 petang pada 6 April ini.
Kian Kheong berkata, alasan mengapa mahkamah memerintahkan jumlah kos itu ialah antaranya, terdapat dua permohonan interlokutari difailkan dalam rayuan berkenaan iaitu penggantungan bicara di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan dan permohonan perayu (Anwar) untuk memfailkan rekod rayuan tambahan.
“Selain itu, rayuan berkenaan juga membabitkan lapan persoalan Perlembagaan yang berkaitan dengan kepentingan awam.
“Persoalan ini juga berkaitan kekebalan Perdana Menteri dan ia adalah persoalan penting. Hujahan yang lengkap juga telah difailkan oleh peguam responden.
“Selain itu, terdapat juga enam pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan,” katanya memetik laporan BH Online.
Pada 4 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.
Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan yang dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Roz Mawar dalam keputusannya berkata, tindakan sivil tidak membentuk suatu kehilangan kebebasan mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (hak kepada nyawa dan kebebasan diri) seperti dibangkitkan Anwar dalam permohonannya.
Beliau berkata, Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















