Keputusan mahkamah tolak permohonan PM tanda kesamarataan, kebebasan kehakiman
KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Perdana Menteri untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan mencerminkan prinsip asas dalam sistem perundangan negara bahawa semua individu, tanpa mengira kedudukan atau pangkat, adalah setara di sisi undang-undang.
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Noorfajri Ismail menjelaskan signifikan utama keputusan itu terletak pada pengiktirafan terhadap konsep kesamarataan (equality) antara pemimpin dan rakyat seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ia menunjukkan bahawa tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.
“Semua pihak mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama di sisi perlembagaan,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika diminta mengulas mengenai keputusan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr. Noorfajri menegaskan bahawa permohonan tersebut bukan tidak berasas, bahkan menyentuh soal undang-undang yang penting dan berpotensi menjadi preseden, khususnya berkaitan isu kekebalan atau imuniti pemimpin negara daripada tindakan sivil.
Namun, beliau menjelaskan bahawa aspek teknikal menjadi faktor penolakan oleh mahkamah.
“Permohonan tersebut berkaitan tindakan yang berlaku sebelum individu berkenaan menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri. Maka, dari segi teknikal, ia terikat dengan masa dan konteks jawatan,” ujarnya.
Keputusan itu ujarnya, turut memperkukuh mesej mengenai kebebasan badan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa antara cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman.
“Mahkamah menghantar mesej yang jelas bahawa ia berfungsi sebagai organ bebas yang mentafsir dan menguatkuasakan undang-undang tanpa pengaruh daripada badan eksekutif,” tambah Dr. Noorfajri.
Dalam isu yang melibatkan tokoh berprofil tinggi seperti Perdana Menteri, persepsi awam terhadap integriti dan ketelusan sistem kehakiman menjadi semakin penting.
Dr. Noorfajri menegaskan bahawa ketelusan dan kesamarataan dalam proses perundangan perlu dikekalkan demi keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman.
“Di Malaysia, kerajaan sendiri boleh disaman dan bertanggungjawab di mahkamah, sebagaimana termaktub di bawah Akta Prosiding Kerajaan 1956.
“Namun, tindakan undang-undang ini perlu mematuhi prosedur dan tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Mengulas dari sudut Perlembagaan Persekutuan, Dr. Noorfajri menjelaskan bahawa seseorang yang memegang jawatan tertinggi seperti Perdana Menteri tetap mempunyai hak dan akses perundangan yang sama seperti rakyat biasa.
Namun, perlindungan tertentu hanya diberikan dalam keadaan rasmi, misalnya dalam pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri.
“Jika tindakan dilakukan atas kapasiti peribadi atau di luar bidang tugas rasmi, maka individu tersebut tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang seperti orang lain,” jelasnya.
Dalam pasa itu, Dr. Noorfajri menolak anggapan bahawa tindakan Perdana Menteri merujuk perkara tersebut ke mahkamah sebagai suatu bentuk penyalahgunaan kuasa.
Sebaliknya, tindakan itu adalah sebahagian daripada hak perlembagaan individu untuk mendapatkan keadilan.
“Dalam sistem demokrasi dan berperlembagaan, semua individu termasuk pemimpin negara berhak menggunakan saluran undang-undang untuk membela diri,” tegas beliau.
Terdahulu, pagi tadi Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar atas alasan persoalan yang dikemukakan tidak menimbulkan isu perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili.
Permohonan itu juga tidak memenuhi kehendak Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Saman sivil yang difailkan oleh Muhammad Yusoff Rawther dijadualkan untuk diteruskan seperti yang ditetapkan, bermula 16 Jun ini.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu sekali lagi mengukuhkan kedudukan mahkamah sebagai penjaga prinsip keadilan dan kesaksamaan, satu elemen penting dalam mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap keluhuran undang-undang di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








