LUAR NEGARA

Israel didakwa godam kamera trafik Tehran, rancang ‘Operation Roaring Lion’ sejak 2001 untuk bunuh Ali Khamenei

JERUSALEM – Israel dilaporkan menggodam sistem kamera trafik di Tehran bagi memantau pergerakan harian tokoh-tokoh kanan Iran sebagai persiapan melancarkan Operation Roaring Lion, menurut laporan akhbar kewangan antarabangsa Financial Times (FT) yang diterbitkan kelmarin.

Menurut laporan itu, perisikan Israel berjaya memetakan ‘corak kehidupan’ (life pattern) pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei termasuk laluan perjalanan, waktu aktiviti harian serta identiti pegawai kanan yang lazimnya berada bersamanya.

Ali Khamenei dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara pada Sabtu lalu.

Ayatollah Ali Khamenei
Ali Khamenei terkorban dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat dan Israel pada Sabtu lalu.

Laporan sama turut menyebut bahawa Israel menggunakan peralatan kecerdasan buatan (AI) serta algoritma khusus bagi menapis dan menganalisis sejumlah besar maklumat berkaitan kepimpinan Iran dan pergerakan mereka.

BACA JUGA: 

Ali Khamenei disahkan terkorban oleh media rasmi Iran

Iran isytihar 40 hari berkabung susulan kematian Ali Khamenei

Kematian Ali Khamenei dianggap syahid – Mufti Wilayah

Selain itu, agensi perisikan Amerika Syarikat, Central Intelligence Agency (CIA) dikatakan menyediakan satu lagi sumber manusia bagi mengesahkan lokasi tepat Ali Khamenei pada hari serangan tersebut.

Menurut FT, Israel melancarkan serangan ke atas kompleks yang menjadi lokasi kawalan keselamatan Ali Khamenei menggunakan peluru berpandu jenis Sparrow.

Pesawat tempur dilaporkan dikerahkan pada waktu siang bagi mencipta kejutan taktikal, meskipun Iran berada pada tahap amaran keselamatan yang tinggi ketika itu.

Secara keseluruhan, sebanyak 30 peluru berpandu dilancarkan ke arah kompleks berkenaan.

Pada masa sama, menara telekomunikasi di kawasan tersebut didakwa diganggu bagi menghalang kakitangan keselamatan menerima panggilan amaran melalui telefon bimbit mereka.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa perancangan operasi berkenaan telah bermula seawal 2001, apabila Perdana Menteri Israel ketika itu, Ariel Sharon mengarahkan agensi perisikan Mossad menjadikan Iran sebagai keutamaan utama dalam strategi keselamatan negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button