Berita Semasa

Gerai nasi ayam claypot ‘viral’ tiada sijil halal – Jakim

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan gerai nasi ayam claypot di Petaling Jaya dekat sini yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu tidak mempunyai sijil halal.

Jakim dalam kenyataan di Facebook menasihatkan pengguna muslim supaya berhati-hati dalam memilih premis makanan supaya tidak terdedah kepada sumber makanan tidak halal.

Menurut agensi tersebut, pihaknya tidak pernah mengeluarkan persijilan halal dan pemeriksaan di dalam Portal Halal Malaysia mendapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah.

“Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang didakwa menggunakan ‘rice wine’ dalam masakan yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis tersebut.

“Berdasarkan kepada semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut,” menurut kenyataan itu, semalam.

Video nasi ayam claypot tradisional Cina tular beberapa hari lalu menunjukkan keunikan hidangan tersebut yang disediakan oleh seorang lelaki dipercayai Cina muslim.

Bagaimanapun, pelbagai pihak tampil mempersoalkan status halal hidangan berkenaan seperti didakwa kerana menggunakan bahan beralkohol iaitu arak beras.

Show More

Related Articles

Back to top button