BERITA SEMASA

DVS sahkan Malaysia bebas virus Nipah, pemantauan dipertingkat

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan Malaysia kekal bebas daripada virus Nipah, namun langkah berjaga-jaga terus diperkukuh susulan laporan wabak melibatkan manusia di West Bengal, India.

Dalam satu kenyataan, DVS memaklumkan pihaknya turut mengetatkan kawalan import daging babi sebagai langkah pencegahan, dengan hanya membenarkan kemasukan dari negara yang disahkan bebas daripada virus berkenaan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan pencegahan penyakit zoonotik, DVS sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara ini terus terpelihara.

“Pada tahun 2025, lebih daipada 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, penternak dinasihatkan memperkukuh amalan biosekuriti ladang, termasuk mengawal kehadiran kelawar buah (keluang) yang dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus tersebut.

“Pemantauan rapi terhadap ternakan juga perlu dilaksanakan, khususnya bagi mengesan simptom seperti masalah pernafasan, demam dan tanda gangguan saraf termasuk sawan.

“DVS ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa status Malaysia sebagai negara bebas Nipah sentiasa dipantau dan dipelihara melalui langkah-langkah pencegahan dan kesiapsiagaan yang berterusan,” jelas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button