BERITA SEMASA

Mursyidul Am PAS masih di ICU, keadaan jantung sangat lemah – anak

GEORGE TOWN – Keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dilaporkan masih tidak stabil memandangkan keadaan jantungnya sangat lemah sekali gus memerlukan pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan anak bongsunya, Husna Hashim yang memohon orang ramai terus mendoakan kesihatan bapanya selain memohon maaf kerana tidak dapat membenarkan sebarang lawatan buat masa ini atas nasihat doktor.

Menurut Husna, bapanya pada awalnya dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada 7 Februari lalu selepas berada dalam keadaan uzur sebaik pulang dari Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat dan program.

Husna menjelaskan keadaan terkini bapanya menerusi hantaran video di TikTok hari ini.

“Ketika dibawa ke unit kecemasan dan dimasukkan ke wad, doktor mengesahkan abah mengalami serangan jantung. Ketika itu jantungnya sudah sangat lemah, hanya tinggal 35 peratus sahaja,” katanya menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Tambah beliau, prosedur angiogram tidak dapat dilakukan ketika itu kerana risiko jantung terhenti memandangkan keadaan terlalu lemah, selain turut berdepan komplikasi lain termasuk masalah buah pinggang tahap empat atau lima serta gangguan pada paru-paru dan hati.

Selepas keadaan dilaporkan semakin stabil, doktor merancang melakukan dialisis ringan berikutan bacaan kreatinin yang melebihi 400 dan paras urea yang tinggi.

Bagaimanapun, sebelum prosedur itu dijalankan, berlaku kecederaan pada arteri di tempat suntikan ubat sehingga memerlukan pemasangan stent.

“Abah kemudian dipindahkan dari Hospital Kangar ke Hospital Pulau Pinang empat hari lepas dan stent berjaya dipasang.

“Cuma sekarang ini abah dipantau di ICU disebabkan masalah jantungnya yang makin lemah dan jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.

Jelas Husna, situasi itu juga menyebabkan prosedur angiogram tidak dapat dilakukan kerana bimbang jantung bapanya tidak kuat menerima tekanan.

Bagaimanapun, dialisis ringan masih dijalankan secara berhati-hati selama kira-kira tiga jam setiap sesi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak hospital di Kangar dan Pulau Pinang atas kerjasama dan layanan baik sepanjang rawatan termasuk kebenaran kepada ahli keluarga untuk menjaga bapanya secara bergilir-gilir selama 24 jam di ICU.

“Kami mohon maaf kerana belum dapat membenarkan ziarah walaupun kami tahu ramai kenalan abah mahu menziarahinya.

“Insya-Allah, apabila keadaan abah stabil dan doktor mengizinkan, kami akan maklumkan kerana abah seorang yang sangat suka berjumpa orang dan bersembang.

“Terima kasih atas semua doa dan keprihatinan. Kita doakan semoga abah kami sihat, dapat menjalani ibadah puasa dan beraya bersama-sama dengan kami,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button