Rombongan PAS Selangor ziarah Hashim Jasin, terus titip nasihat walaupun uzur
KANGAR – Rombongan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor bersama delegasi Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS Selangor berkesempatan menziarahi Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin di kediamannya di Perlis.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Halim Tamuri berkata, beliau tersentuh melihat keadaan Hashim yang masih uzur, namun tetap menunjukkan semangat yang tinggi sepanjang menerima kunjungan rombongan itu.

“Di sebalik ujian kesihatan yang dilalui, semangat dan ketenangan beliau tetap utuh.
“Beliau menyambut kedatangan kami dengan senyuman yang cukup mesra, sambil bibirnya tidak lekang memberikan nasihat dan taujihat buat kami,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Halim turut mendoakan kesembuhan, kekuatan serta kesihatan yang berpanjangan buat Hashim.
“Mudah-mudahan setiap nasihat, pengorbanan dan jasa beliau dalam perjuangan Islam terus menjadi inspirasi dan panduan buat seluruh generasi penerus perjuangan,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hashim atas sumbangan besar tokoh itu dalam perjuangan Islam sambil menegaskan doa seluruh rombongan sentiasa mengiringi kesihatan Mursyidul Am PAS berkenaan.
BACA JUGA:
Mursyidul Am PAS masih di ICU, keadaan jantung sangat lemah – anak
Sebelum ini, Hashim, 87, dilaporkan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas menjalani prosedur pemasangan stent susulan masalah pada saluran darah.
Keadaannya ketika itu dilaporkan tidak stabil dan beliau memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
Selain mengalami masalah jantung, beliau juga dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang serta memerlukan rawatan dialisis.
Dalam perkembangan berikutnya, keadaan kesihatan beliau dilaporkan semakin baik selepas menerima rawatan lanjut dan dibenarkan pulang untuk meneruskan proses pemulihan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


