Noor Ruwena terajui Mahkamah Tinggi Khas Rasuah baharu
KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin dilantik mengetuai Mahkamah Tinggi Khas Rasuah yang baharu ditubuhkan bagi mendengar perbicaraan kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pelantikan itu dimaklumkan menerusi pekeliling bertarikh 4 Februari yang ditandatangani Ketua Hakim Malaya, Hashim Hamzah, dan akan berkuat kuasa mulai 1 April ini.
Noor Ruwena ketika ini merupakan hakim yang mengendalikan kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung program Jana Wibawa.
Perbicaraan kes tersebut dijadual bermula bulan depan dengan sebanyak 29 hari diperuntukkan bagi mendengar kes terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang berdepan pertuduhan salah guna kuasa dan menerima hasil daripada aktiviti haram.
Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 9, 10 dan 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai; dan 7, 18, 19, 20, 21, 26 serta 27 Ogos 2026.
Penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 19 Januari lalu.
Baginda bertitah kerajaan perlu menyediakan hakim berpengalaman dan sistem mahkamah khas bagi memastikan kes rasuah dibicarakan serta diselesaikan dengan lebih pantas.
Baginda turut menegaskan bahawa rasuah perlu diperangi secara besar-besaran dan rakyat digesa memainkan peranan dengan melaporkan sebarang salah laku.
Sehari selepas titah tersebut, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Khas Rasuah akan diwujudkan hasil perbincangan antara Hashim dan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sebagai permulaan, pelaksanaan inisiatif itu akan dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketika ini terdapat 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di seluruh negara yang ditubuhkan bagi mendengar kes rasuah dengan sasaran penyelesaian dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








