BERITA SEMASA

PULSE Group agih 3,000 bubur lambuk kepada food riders, komuniti setempat

PUTRAJAYA – Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) meneruskan tradisi tahunan pengagihan bubur lambuk sempena Ramadan tahun ini dengan memberi fokus khusus kepada golongan penghantar makanan (food riders) sekitar Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif PULSE Group, Abd Rahim Md Junoh berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya itu menyaksikan sebanyak 3,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada warga setempat menerusi kaedah pandu lalu bermula jam 4 petang.

Beliau berkata, kelainan pada tahun ini adalah dengan mengagihkan bubur lambuk kepada food riders sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam ekonomi gig.

“Inisiatif ini melibatkan penghargaan khas kepada golongan food riders semasa program pengagihan bubur lambuk sebagai tanda keprihatinan terhadap kisah kemasyarakatan dan pengiktirafan kepada peranan penting mereka sebagai barisan hadapan dalam ekonomi gig,” katanya di sini hari ini.

Program agihan bubur lambuk itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir yang bersama-sama menyantuni komuniti.

Dalam pada itu menurutnya, sebanyak lima periuk besar bubur lambuk dimasak oleh dua cef berpengalaman bersama lebih 50 kakitangan dapur dan syarikat, dengan proses penyediaan bermula seawal jam 10 pagi sebelum dibungkus dan diedarkan.

Dalam pada itu katanya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut menganjurkan Bufet Ramadan bertemakan ‘Cita Rasa Klasik – Sajian Selera Desa’ bermula 20 Februari hingga 19 Mac ini dengan menampilkan lebih 200 menu masakan kampung pada harga RM110 bagi dewasa dan RM60 bagi kanak-kanak.

Katanya, pengunjung juga berpeluang mengunjungi festival Gema Raya Putrajaya 2026 yang berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga malam raya di PICC, melibatkan lebih 300 vendor menawarkan pelbagai kelengkapan Aidilfitri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button