BERITA SEMASA

391 murid asnaf terima sumbangan dari Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya

PUTRAJAYA – Seramai 391 murid daripada keluarga asnaf sekitar Putrajaya menerima sumbangan sempena Aidilfitri melalui program anjuran Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya dengan kerjasama pelbagai agensi dan syarikat korporat.

Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, jumlah penerima bantuan itu meningkat kepada 391 orang berbanding 320 murid tahun lalu, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam membantu golongan memerlukan.

Murid asnaf
Wajah ceria sebahagian murid sekolah yang menerima sumbangan pada majlis tersebut.

Menurutnya, program yang dianjurkan di AEONBIG Alamanda itu bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan serta menceriakan murid-murid dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Melalui program ini, setiap murid menerima kad bernilai RM100 untuk membeli pakaian atau keperluan Hari Raya di premis AEONBIG.

“Walaupun nilainya tidak besar, kami berharap sumbangan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada Murid-Murid Kurang Berkemampuan, di sini hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan turut mendapat sokongan daripada Bank Rakyat yang menyumbang RM29,100 dan Yayasan Pelajaran MARA sebanyak RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan RM39,100.

Hisamudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta pihak sekolah yang membantu mengenal pasti murid yang layak menerima bantuan.

Dalam pada itu, beliau berkata biro berkenaan turut merancang beberapa program pendidikan lain sepanjang tahun ini termasuk program ‘Menggilap Bintang’ bagi membantu pelajar yang memerlukan sokongan akademik serta program ‘Mencapai Bintang’ untuk pelajar yang disasarkan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Murid asnaf Putrajaya
Mohd Hisamudin, Rozana serta tetamu VIP bergambar bersama sebahagian penerima sumbangan Aidilfitri pada program berkenaan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menganjurkan Majlis Restu Ilmu yang dijangka melibatkan kira-kira 2,500 pelajar di Putrajaya sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

“Melalui program ini, saya sendiri akan berjumpa setiap seorang pelajar di Putrajaya ini untuk berikan alat bantuan sebelum mereka masuk peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu telah memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Murid asnaf Putrajaya
Dari kiri: Nadimin, Hisamudin, Rozana dan Kenji pada sidang media selepas program berakhir.

“Ini adalah satu ruang dan peluang bagi kita mempunyai hubungan yang baik dengan komuniti,” katanya.

Menurutnya, kerjasama berterusan daripada pihak penaja serta rakan strategik seperti AEONBIG membolehkan program kebajikan seperti itu diteruskan setiap tahun bagi membantu golongan memerlukan di Putrajaya.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Fasiliti dan Sumber Manusia, Yayasan Pelajaran MARA, Lubna Haida Mohd Khirati; Pengarah Urusan AEONBIG Malaysia, Kenji Fujita dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nadimin Abdul Aziz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button