Lebih 300 gerai, konsep berbuka sambil ‘healing’ jadi keunikan Bazar Ramadan Santai BTP
BANDAR TASIK PUTERI – Bazar Ramadan Santai Bandar Tasik Puteri (BTP) mencipta kelainan apabila menghimpunkan lebih 300 peniaga sepanjang hampir satu kilometer, sekali gus berpotensi menjadi antara bazar terpanjang di Malaysia.
Penganjur, Muhammad Faezee Abu Bakar berkata, bazar mega tersebut dianjurkan menerusi kolaborasi bersama Low Yat Group dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dengan kendalian oleh Big Food Festival.
Menurutnya, pihak Low Yat menjemput mereka bagi menganjurkan bazar berkenaan sebagai usaha memperkenalkan Bandar Tasik Puteri kepada masyarakat umum.
“Low Yat ingin memperkenalkan Bandar Tasik Puteri ini kepada seluruh masyarakat dengan membuat sesuatu yang berbeza. Jadi, kita cuba satukan tiga bazar yang ada di sekitar BTP untuk menjadi satu tempat.
“Kita boleh buat satu bazar yang terpanjang dalam Malaysia, insya-Allah kalau berjaya. Setakat ini kita sudah mendapat lebih kurang 300 lebih peniaga,” katanya.

Beliau berkata, bazar tersebut mengetengahkan konsep ‘healing’ bersama keluarga apabila menyediakan tapak khas untuk pengunjung berbuka puasa secara santai.
Katanya, kemudahan seperti surau dan tandas turut disediakan berdekatan kawasan berkenaan bagi memastikan keselesaan pengunjung.
Selain itu, jelasnya, bazar raya turut diadakan di sekeliling kawasan ruang makan bagi memudahkan aktiviti jual beli menjelang perayaan.
“Masih ada tiga hingga empat slot kosong untuk bazar raya dan kami mengalu-alukan peniaga yang berminat,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kenyataan media, Low Yat Group selaku penaja utama memaklumkan penganjuran BTP Bazar Ramadan dilaksanakan dengan usahasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Bank Islam dan Jawatankuasa Zon 18.
Menurut kenyataan itu, BTP merupakan antara bandar terbesar di Northern Klang Valley dengan keluasan 2,670 ekar dan bazar tersebut dianjurkan bagi memperkenalkan kawasan berkenaan sebagai bandar yang semakin pesat berkembang.
“Setakat ini, persiapan bazar berjalan lancar melibatkan penyediaan tapak, pemilihan peniaga serta penyelarasan kemudahan asas seperti kebersihan, keselamatan dan aliran trafik.
“Sebanyak 305 tapak disediakan dengan pelbagai jenis juadah dan produk ditawarkan bagi memberi lebih pilihan kepada pengunjung di samping membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan sepanjang bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, penganjur turut berharap bazar tersebut dapat merancakkan ekonomi setempat serta memperkukuhkan kuasa pembeli menerusi tawaran pelbagai juadah dan produk pada harga berpatutan.
“Bazar berkenaan bukan sekadar pasar Ramadan biasa, sebaliknya tampil dengan konsep unik apabila menyediakan tapak khas untuk pengunjung berbuka puasa sambil bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Turut disediakan pentas bagi persembahan hiburan ringan, aktiviti hujung minggu serta kemudahan surau demi keselesaan pengunjung.
Dalam pada itu, antara cabaran dikenal pasti termasuk faktor cuaca, pengurusan trafik serta memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa terjaga.
Bagaimanapun, penganjur yakin segala cabaran dapat diuruskan dengan baik menerusi kerjasama erat semua pihak termasuk MPS, Bank Islam dan Jawatankuasa Penduduk Zon 18.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















