LUAR NEGARA

514 sekolah di Kemboja ditutup susulan krisis sempadan

PHNOM PENH – Sebanyak 514 buah sekolah di enam wilayah ditutup sementara berikutan serangan yang dilancarkan tentera Thailand.

Kementerian Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja mengumumkan situasi itu melibatkan 130,000 pelajar dan 4,650 guru, memetik laporan agensi berita Xinhua.

Mereka turut mengecam serangan ketenteraan Thailand yang melanggar kedaulatan Kemboja sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan orang awam, kerosakan harta benda awam dan swasta serta penutupan sekolah.

Wilayah terjejas termasuklah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey, Pursat, Battambang dan Koh Kong.

Sementara itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Kemboja menyatakan keprihatinan terhadap situasi di sempadan dan menegaskan keperluan untuk menjaga keselamatan kanak-kanak.

“Kanak-kanak perlu dilindungi setiap masa. Keselamatan dan kebajikan mereka perlu diutamakan,” kata jurucakapnya.

UNICEF Kemboja turut menekankan bahawa mereka memantau situasi dengan rapat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menilai keperluan serta memberi bantuan penting kepada keluarga dan kanak-kanak terjejas.

Menurut laporan Khmer Times pula, penutupan sekolah bertujuan memastikan keselamatan guru dan pelajar di kawasan yang terdedah kepada serangan artileri dan dron pengintip.

Di Pursat, Jabatan Pendidikan Wilayah mengesahkan semua sekolah di komuniti Thmar Da ditutup sehingga notis selanjutnya selepas serangan pagi semalam.

Sementara itu, di Preah Vihear, semua institusi pendidikan sepanjang sempadan di daerah Choam Ksan ditutup dari pukul 7 pagi semalam.

Di Oddar Meanchey, penutupan sekolah melibatkan 260 institusi pendidikan selepas serangan tentera Thailand pada 8 Disember, pukul 5.04 pagi.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata berkata, tentera Thailand menggunakan senjata berat, bom dan dron pengintip dalam serangan yang meluas ke kawasan Boeng Pring, Thmar Puok dan Kamrieng di Battambang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button