5 sekeluarga maut: Suspek bunuh diri selepas bunuh isteri, dua anak dan ibu sendiri
KUANTAN – Seorang lelaki dipercayai membunuh isteri, dua anak dan ibunya sendiri sebelum bertindak membunuh diri dalam kejadian yang berlaku di Taman Cherating Damai, Kuantan, pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, empat mayat ditemukan dalam sebuah bilik di rumah tersebut manakala, mayat seorang wanita dengan kesan berlumuran darah ditemukan di dapur kediaman terbabit.
Katanya, mayat berkenaan membabitkan seorang lelaki berusia 32 tahun, isterinya berusia 28 tahun, dua kanak-kanak perempuan anak pasangan terbabit berusia tiga dan empat tahun serta nenek kanak-kanak terbabit berusia 53 tahun.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pagi ini, suspek utama dipercayai membunuh isteri dan dua anak dalam sebuah bilik.
“Suspek kemudian disyaki membunuh ibunya di dapur dan membunuh diri dalam bilik dan mayatnya ditemukan bersama isteri dan dua anaknya.
“Terdapat kesan kelar di beberapa bahagian badan setiap mangsa dan polis sudah menemui pisau dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, lelaki terbabit kini bekerja di Kuantan dan tinggal di rumah ibunya bersama keluarga dan dan tiga adiknya.
“Motif kejadian sedang disiasat termasuk menyemak jika suspek utama mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan juga aspek lain termasuk masalah kewangan,” katanya.
Ketika ini semua mayat masih di lokasi kejadian dan polis masih meneruskan siasatan.
Semua mayat akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








