LUAR NEGARA

35 maut dalam serangan bersenjata di lapangan terbang utama Niger

NIAMEY – Sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam serangan bersenjata di Lapangan Terbang Antarabangsa Diori Hamani, lapangan terbang terbesar di Niger, awal pagi semalam.

Menurut laporan BBC News, ia merupakan serangan kedua ke atas kemudahan itu dalam tempoh kurang lima bulan.

Kementerian Pertahanan Niger memaklumkan, angka korban merangkumi 22 penyerang, 11 anggota keselamatan dan dua orang awam.

Penduduk di sekitar lapangan terbang berkata, mereka dikejutkan dengan bunyi letupan dan tembakan sejurus selesai menunaikan solat Subuh.

Seorang penduduk, Lawalli Tsalha yang tinggal berhampiran lapangan terbang, berkata, mereka selesai menunaikan solat sekitar pukul 5.50 pagi waktu tempatan sebelum terdengar satu dentuman kuat.

“Beberapa ketika kemudian barulah kami sedar bahawa satu serangan sedang berlaku,” katanya kepada BBC News.

Kumpulan Jama’at Nusrat al-Islam wal-Muslimin (JNIM) yang bersekutu dengan Al-Qaeda, kemudian mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

Niger berdepan ancaman pemberontakan kumpulan militan Islam sejak lebih sedekad lalu.

Pada Januari lalu, sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Daesh turut mengaku bertanggungjawab atas serangan di lapangan terbang yang sama.

Situasi kembali terkawal menjelang lewat pagi selepas pasukan keselamatan melancarkan operasi memburu saki-baki penyerang.

Pihak berkuasa memaklumkan empat lagi penyerang cedera, manakala 20 suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

Dalam operasi itu, pasukan keselamatan turut merampas sejumlah besar senjata dan peralatan termasuk pelancar roket RPG-7, raifal AK-47, bahan letupan, bom tangan, peralatan komunikasi serta ribuan butir peluru.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button