3,000 Orang Asli terputus hubungan selepas jambatan runtuh akibat kepala air
GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli di tiga kawasan pedalaman di sini terputus hubungan selepas sebuah jambatan kayu balak yang menjadi laluan utama mereka runtuh akibat kepala air, malam tadi.
Jambatan yang merentasi Sungai Peralong itu dilaporkan runtuh sekitar jam 7 malam selepas hujan lebat sejak petang, menyebabkan penduduk di Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob kini tidak dapat keluar dari penempatan masing-masing.
Seorang penduduk, Dendi Johari, 37, berkata, jambatan berkenaan putus sepenuhnya dan tidak boleh dilalui walaupun dengan motosikal.
“Saya dimaklumkan rakan sekitar jam 7 malam. Jambatan kayu balak itu kini sudah terputus dan langsung tidak boleh digunakan oleh mana-mana kenderaan.
Kami harap ia dapat dibaiki segera kerana penduduk, termasuk guru di pedalaman, perlu keluar hari ini untuk cuti hujung minggu,” memetik laporan Buletin TV3.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada penduduk mengenai kejadian itu.
“Saya nasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati pada musim tengkujuh. Jika perlu masuk ke hutan, pastikan secara berkumpulan kerana bimbang risiko tanah runtuh atau kepala air.
“Insya-Allah, tindakan segera akan diambil untuk membaiki jambatan ini kerana ia merupakan laluan utama masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut,” katanya lagi.
Usaha baik pulih dijangka dimulakan sebaik keadaan cuaca mengizinkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







