13 maut, puluhan cedera kebakaran stor bunga api di Kerala
THRISSUR – Sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kebakaran besar melibatkan sebuah stor penyimpanan bunga api di daerah Thrissur, Kerala, semalam.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kerala (KSDMA), kebakaran berlaku di kawasan Mundathikode dan mengakibatkan kemusnahan teruk pada premis berkenaan.
“Setakat ini, 13 mangsa disahkan maut, lima lagi berada dalam keadaan kritikal, dua dirawat di wad, manakala 17 individu mengalami kecederaan ringan,” menurut kenyataan agensi itu seperti dilaporkan Hindustan Times.
Difahamkan, api marak dengan pantas berikutan bahan mudah terbakar yang disimpan di lokasi tersebut sekali gus menyukarkan usaha pemadaman pada peringkat awal.
Pasukan bomba dan penyelamat bersama agensi kecemasan lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, dengan operasi menyelamat dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap serta mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Sementara itu, Setiausaha Agung Indian National Congress, KC Venugopal melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi tersebut yang berlaku hanya beberapa hari sebelum perayaan Pooram di negeri itu.
“Saya terkejut dengan kejadian letupan ini dan amat sedih dengan kehilangan nyawa serta skala kemusnahan yang berlaku. Takziah kepada semua keluarga mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan Kerala, Veena George mengarahkan semua mangsa yang cedera diberikan rawatan perubatan terbaik dengan segera.
Beliau turut mengarahkan Thrissur Medical College menyediakan segala kemudahan rawatan diperlukan, selain memastikan jumlah ambulans mencukupi termasuk unit kecemasan Kanivu 108 digerakkan ke lokasi kejadian bagi mempercepatkan proses pemindahan mangsa.
Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk kemungkinan berlakunya letupan yang mencetuskan kebakaran besar tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








