YADIM hargai penaja, rakan strategik pelaksanaan Program Dakwah Negara 2025
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini meraikan penaja serta rakan strategik yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan Program Dakwah Negara (PDN) 2025 menerusi Majlis Apresiasi Dakwah YADIM dan Perasmian Penutupan PDN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putarajaya, di sini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan terhadap sokongan pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melestari gerakan dakwah sepanjang tahun 2025.

“Seramai lebih 30 penaja dan rakan strategik diraikan pada majlis ini merangkumi sokongan berbentuk kewangan, kepakaran, logistik, pelaksanaan program serta liputan media.
“Sokongan berterusan daripada penaja dan rakan strategik menjadi antara faktor utama kejayaan PDN 2025. Ia membolehkan YADIM memperluas capaian dan liputan program, meningkatkan kualiti penyampaian dan melaksanakan dakwah secara lebih tersusun serta berimpak,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau, majlis itu bukan sahaja menandakan penutupan rasmi PDN 2025, malah berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan jaringan kerjasama strategik dan membuka ruang perancangan bagi memperluas pelaksanaan program dakwah yang lebih inklusif menjelang 2026.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan turut dihadiri kepimpinan YADIM, wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta rakan media.
PDN 2025 yang membawa tema ‘Membangun Adab Membina Negara’ dilaksanakan menerusi pendekatan dakwah komuniti, pendidikan, kebajikan dan advokasi sosial di seluruh negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Program itu dirangka bagi menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama sekali gus memperkukuh nilai adab, keharmonian serta kefahaman bersama dalam kalangan rakyat.

Sepanjang pelaksanaannya bermula 15 Oktober lalu, lebih 3,000 program dakwah termasuk yang bertaraf antarabangsa berjaya dianjurkan di seluruh negara, melibatkan lebih 405,000 peserta dan melepasi sasaran awal sebanyak 1,000 program.
Dalam pada itu, Hasan turut menyeru orang ramai, badan korporat dan agensi berkaitan agar terus bersama YADIM dalam menggerakkan aktiviti dakwah di negara ini.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan kepada YADIM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program dakwah serta membantu golongan memerlukan selaras dengan usaha melestari gerakan dakwah di Malaysia.
Pada majlis itu, YADIM turut menyampaikan sumbangan Tabung Musa’adah Palestin berjumlah RM457,366 kepada NGO berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








