Warga Indonesia ditahan di KLIA, miliki cap keselamatan meragukan
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan pada pasportnya, semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang ketika melalui pemeriksaan imigresen sebelum dijadualkan berlepas keluar dari negara ini.
Hasil semakan mendapati lelaki berkenaan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari KLIA pada 13 Ogos 2022.
“Namun, beberapa cap keselamatan keluar dan masuk atas nama subjek yang wujud pada pasportnya dari tahun 2022 hingga 2025 didapati meragukan.
“Pemeriksaan lanjut menerusi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) mendapati tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk sepanjang tempoh berkenaan,” menurut kenyataan AKPS.
Lebih mencurigakan, suspek turut mengaku kepada pegawai penyiasat dia tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak tahun 2022, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap kesahihan cap-cap imigresen yang diperolehnya.
“Suspek mengaku membelanjakan RM4,000 untuk mendapatkan cap keselamatan tersebut,” tambah kenyataan itu.
AKPS kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan sindiket atau individu yang bertanggungjawab dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan dikenali sebagai ‘flying’ atau ‘fly passport’.
“Kes itu akan dibawa untuk tindakan tatatertib dan siasatan di bawah kesalahan pemalsuan dokumen perjalanan serta sebarang pelanggaran undang-undang imigresen yang berkaitan,” kata AKPS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








