JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita dilapor hilang sudah hubungi polis

TAIPING – Nor Afiza Zainuddin, 41, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk menghadiri temu duga kerja, 16 Jun lalu sudah memaklumkan kepada pihak polis dirinya berada dalam keadaan selamat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, wanita itu memaklumkan dia sihat dan hanya memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri.

“Polis berjaya bercakap dengan Nor Afiza Zainuddin yang memaklumkan keadaannya sihat dan memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum kembali ke Taiping untuk bertemu keluarga serta memberi keterangan kepada polis.

“Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat dia berada ketika ini,” katanya, semalam.

Sementara itu, seorang kakak Nor Afiza yang enggan dikenali ketika dihubungi berkata, pihak keluarga hanya dimaklumkan mengenai perkembangan itu selepas adiknya menghubungi pihak polis.

“Dia cuma beritahu dia sihat dan perlukan masa untuk bertenang. Setakat ini dia tidak menghubungi ahli keluarga. Saya juga tidak tahu sama ada dia akan pulang ke Taiping dalam masa terdekat kerana dia hanya berhubung dengan pihak polis,” katanya.

Sementara itu, adik mereka, Ahmad Zulhilmi, 34, berkata, seluruh keluarga berharap Nor Afiza segera pulang.

Katanya, dua anak Nor Afiza sering bertanyakan mengenai ibu mereka, namun keluarga terpaksa mengalihkan perhatian bagi menenangkan mereka.

Laporan media sebelum ini menyebut, Nor Afiza dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taiping pada 16 Jun lalu untuk menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar sebelum gagal dikesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button