JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita cetus provokasi di Balai Polis Sungai Kob direman tiga hari

KULIM – Seorang wanita berusia 32 tahun direman selama tiga hari selepas dipercayai mencetuskan provokasi, menyerang anggota polis dan merosakkan harta benda di Balai Polis Sungai Kob pada Jumaat lalu.

Suspek yang bekerja sebagai peniaga itu dilaporkan tiba di balai berkenaan pada pukul 3.30 petang sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, seorang anggota kemudian tampil untuk menenangkan suspek namun wanita berkenaan bertindak agresif dengan menumbuk muka anggota tersebut.

“Pada pukul 3.30 petang, suspek sampai di Balai Sungai Kob dan membuat provokasi dengan mengeluarkan perkataan kesat kepada polis.

“Seorang anggota datang untuk menenangkan suspek namun telah ditumbuk di muka. Pada pukul 3.45 petang, seorang lagi anggota tiba dan suspek terus memaki dengan perkataan kurang sopan sebelum menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, suspek ditahan dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.

Wanita itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Kulim hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam serta Seksyen 426 kanun sama kerana melakukan khianat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button