Wanita cedera parah dipercayai akibat dibakar teman lelaki
KLUANG – Seorang wanita terpaksa ditidurkan selepas cedera parah dipercayai akibat dibakar teman lelakinya berhampiran Plaza Tol Simpang Renggam, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek yang berusia 44 tahun juga terpaksa ditidurkan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, di sini selepas melecur teruk dalam kejadian pukul 5.46 pagi Rabu itu.
Beliau memberitahu, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran sebuah kereta berhampiran plaza tol terbabit dan insiden cubaan membunuh serta bunuh diri menggunakan petrol.
“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan menarik tangan teman wanita berusia 37 tahun keluar dari bas dinaiki lalu menyimbah petrol ke atas mangsa serta ke badannya sendiri.
“Suspek kemudian menyalakan pemetik api lalu membakar badan mangsa dan dirinya. Akibatnya, kedua-dua badan mangsa dan suspek terbakar serta melecur teruk. Seorang lagi lelaki berusia 30-an turut melecur di bahagian tangan dan kaki ketika cuba membantu mangsa.
“Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dihantar ke hospital, namun mangsa dan teman lelaki ditidurkan akibat kecederaan teruk dialami,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-3656822.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








