Wang tunai RM169 juta milik Ismail Sabri dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia
KUALA LUMPUR – Wang tunai melebihi RM169 juta yang didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini secara rasmi dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia selepas mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Suzana Hussin membuat perintah itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat dan memutuskan tiada pihak ketiga berkepentingan hadir untuk mencabar prosiding pelucutan hak harta tersebut, memetik laporan BH Online.

Jumlah wang tunai berkenaan melibatkan pelbagai mata wang antarabangsa termasuk RM14.77 juta; SG$6.13 juta; AS1.46 juta; CHF3 juta (Swiss Franc); EUR12.16 juta; JPY363 juta (Yen); GBP50,250; NZ$44,600; AED34.75 juta; dan AUD352,850.
Mahadi memaklumkan mahkamah bahawa Warta Kerajaan Persekutuan telah disiarkan pada 22 September lalu dan tiada mana-mana pihak ketiga hadir membuat tuntutan terhadap aset berkenaan hari ini.
Proses pelucutan hak dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009, setelah pihak berkuasa berpuas hati wang yang disita daripada bekas Setiausaha Politik Ismail Sabri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, adalah milik Ismail Sabri dan berkait dengan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, iaitu kegagalan mematuhi notis mengisytiharkan harta.
Kesemua aset, termasuk wang tunai dan 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta, ditemui di tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’.
SPRM sebelum ini mempamerkan aset itu pada sidang media Mac lalu sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada prosiding 8 September lalu, mahkamah diberitahu bahawa Ismail Sabri dan Mohammad Anuar tidak bercadang mencabar permohonan pelucutan hak yang difailkan pihak pendakwaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya akan memohon pelucutan hak semua aset tersebut dalam masa terdekat, bagi memastikan wang dan barangan berharga berkenaan diserahkan kepada kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








