GAYA HIDUPRENCANA

UPTM jayakan USR EcoHeritage: Menyulam warisan budaya dengan kelestarian alam

MAHASISWA masa kini tidak lagi terbatas pada dunia kuliah dan peperiksaan semata-mata.

Mereka juga digalas dengan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat masa depan yang berjiwa besar, peka kepada cabaran global dan pada masa sama berakar kuat dengan budaya serta alam sekitar.

Menyedari hakikat itu, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) tampil memperkukuh peranan mahasiswa melalui penganjuran University Social Responsibility (USR) EcoHeritage – Where Culture Meets Nature yang diadakan di Tanjung Karang dan Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor baru-baru ini.

UPTM Heritage
Seramai 55 peserta menyertai program yang berlangsung selama dua hari di Sungai Besar, Selangor ini.

Program selama dua hari yang berlangsung pada 6 dan 7 September itu menghimpunkan lebih 55 peserta terdiri daripada alumni, pelajar antarabangsa, mahasiswa tempatan, pensyarah dan masyarakat setempat.

Bagi UPTM, inisiatif itu bukan sekadar aktiviti luar bilik kuliah, tetapi jambatan penting menghubungkan universiti dengan komuniti luar bandar iaitu sebuah ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang sukar diperoleh dalam silibus akademik.

Dari menggagau ikan di sawah, bermain layang-layang, mandi paloh hinggalah kepada penanaman pokok bakau, setiap aktiviti membawa peserta mendekati realiti kehidupan desa.

Malam kebudayaan pula membuka ruang pertukaran budaya antarabangsa dengan persembahan tarian Kuda Kepang dan mencanting batik yang menghidupkan suasana penuh warna-warni.

UPTM Heritage
Aktiviti mencanting batik memberi pengalaman bermakna buat para peserta.

Tidak ketinggalan, peserta juga diberi peluang meninjau perusahaan tradisional seperti kilang bahulu, kerepek, nata de coco, beras dan coklat sekali gus memperlihatkan potensi ekonomi desa yang sering dianggap kecil tetapi sarat nilai ketahanan komuniti.

Bagi mahasiswa Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Julia Afifah Azhan, pengalaman itu membuka perspektif baharu tentang erti menghargai warisan budaya dan potensi ekonomi luar bandar.

“Saya belajar bukan sahaja tentang alam sekitar, tetapi juga bagaimana komuniti membangunkan ekonomi melalui perusahaan kecil.

“Ia membuka mata saya tentang pentingnya menghargai budaya dan alam kita sendiri,” katanya.

Pelajar antarabangsa dari Indonesia, Ilham Hidayat Siregar pula menyifatkan penglibatannya ibarat menyelami kehidupan sebenar masyarakat desa Malaysia.

“Kami bukan sekadar pelajar di Malaysia, tetapi sebahagian daripada komuniti.

“Program ini membuatkan kami merasai sendiri kehidupan desa, memahami nilai budaya dan berinteraksi dengan masyarakat setempat. Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan,” ujarnya.

UPTM Heritage
Aktiviti penanaman pokok bakau mendidik mahasiswa supaya menghargai kelestarian alam sekitar.

Program itu bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar baharu, bahkan turut mengikat semula hubungan alumni dengan universiti.

Salah seorang alumni UPTM, Yasit Abd Razak berkongsi, EcoHeritage wajar dijadikan tradisi tahunan kerana impaknya terhadap pembangunan sahsiah mahasiswa.

“Sebagai bekas pelajar, saya gembira melihat UPTM memberi peluang kepada generasi baharu untuk merasai pengalaman ini. Ia mampu menyuburkan nilai kepimpinan, empati dan kesukarelawanan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek UPTM EcoHeritage, Zalina Zalwadi pula menegaskan bahawa ia bukan sekadar program berkala, sebaliknya berpotensi menjadi gerakan berterusan yang menggabungkan pendidikan, kelestarian dan pemerkasaan komuniti.

“Kami mahu mahasiswa membawa pulang bukan sahaja ilmu akademik, tetapi juga pengalaman hidup yang membentuk sahsiah dan kesedaran sivik,” tegasnya.

UPTM Heritage
Beberapa orang peserta memasang tali layang-layang untuk aktiviti permainan tersebut.

Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rakan Bumi: Friends of Lestari Alam Siri 2 serta sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Penyertaan pelbagai pihak ini memperlihatkan bahawa agenda kelestarian dan pemeliharaan budaya adalah tanggungjawab kolektif yang menuntut usaha bersepadu.

Bagi UPTM, inisiatif berimpak sosial sebegini adalah jalan terbaik membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat, berfikiran global dan tetap berpijak pada akar budaya.

EcoHeritage akhirnya membuktikan bahawa titik temu antara budaya, alam dan generasi muda mampu melahirkan insan yang lebih matang, prihatin serta bersedia memimpin masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button