BERITA SEMASA

UMS bakal jadi pusat rujukan ilmu serantau, ‘The Brain of Borneo’

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran menjadi pusat rujukan ilmu serantau dengan peranan strategik menjadi ‘The Brain of Borneo’ selaras dengan keunikan bidang penyelidikan dan kekuatan akademiknya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, UMS wajar berperanan sebagai khazanah ilmu dan pemacu pembangunan rantau Borneo, khususnya dalam bidang biodiversiti dan maritim.

“UMS mesti tampil sebagai pusat pemikir serantau yang menyumbang bukan sahaja kepada pembangunan negeri Sabah, malah kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program KARISMA Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti bertemakan UMS NEXT 30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia di sini hari ini.

Dr. Zambry Abd Kadir ketika berucap merasmikan Program KARISMA Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti bertemakan UMS NEXT 30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zambry menegaskan universiti awam perlu mengadaptasi model kewangan baharu dengan tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan sebaliknya melaksanakan penjanaan pendapatan sendiri secara proaktif termasuk melalui penglibatan sayap komersial dalam projek pembangunan.

Beliau turut menyentuh isu pengangguran belia di Sabah dan menegaskan keperluan institusi pengajian tinggi (IPT) menawarkan program yang relevan dengan industri selain memperkukuh kemahiran dan keusahawanan graduan.

Sementara itu, dalam sesi dialog bersama pengurusan universiti, Zambry menyambut baik cadangan membangunkan Kampus Labuan sebagai pusat program antarabangsa yang mampu menarik lebih ramai pelajar luar negara menerusi tawaran kursus berdaya saing global.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button