POLITIK

UMNO tidak tamak minta jawatan menteri – Ahmad Zahid

KUANTAN – UMNO tidak tamak untuk meminta jawatan menteri sekiranya wujud kekosongan susulan keputusan pemilihan kepimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sekiranya berlaku kekosongan, perkara itu merupakan hak PKR sepenuhnya.

“Itu hak mereka, kita tidak boleh campur dan kita tahu batas-batas permintaan kita… Saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO.

“Kita bersyukur kerana kita sudah ada tujuh menteri daripada UMNO dalam barisan Kabinet (sekarang),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Eastern International TVET di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Untuk rekod, pemilihan PKR malam tadi menyaksikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR.

Rafizi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatannya dalam parti.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, UMNO tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti lain, termasuk PKR, dan sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan parti sendiri.

“Saya tidak seharusnya mencampuri urusan parti lain. Sudah tentu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan melakukan sesuatu yang terbaik supaya kerajaan sedia ada dan anggota Jemaah Menteri dapat terus bergerak seiring bagi menjamin pengukuhan Kerajaan Madani,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu PKR, termasuk Nurul Izzah, dan berharap hubungan antara UMNO dengan PKR melalui kerjasama dalam Pakatan Harapan dan BN dapat dieratkan lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button