UMNO terbuka terima sesiapa sahaja mahu kembali sertai parti – Ahmad Zahid
KUALA NERUS – UMNO terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai parti itu termasuk pemimpin dan individu daripada parti lain.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penerimaan itu selaras dengan konsep keterbukaan gagasan Rumah Bangsa, yang mengamalkan pintu terbuka buat individu atau kumpulan kembali ke dakapan UMNO.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai UMNO.
“UMNO merupakan wadah kepada ahli UMNO dan juga sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa berdepan tindakan pemecatan oleh parti tersebut.
Menurut Ahmad Zahid, pendekatan inklusif itu diambil sebagai usaha menyatukan semula orang Melayu di bawah satu platform politik yang stabil, berpengalaman dan berteraskan kepentingan bangsa.
Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada 14 Disember 2018 dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Ahmad Zahid ketika itu.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu membabitkan konflik kepimpinan dalam BERSATU menyaksikan Hamzah dikaitkan dengan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan.
Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Presiden BERSATU itu dijangka berdepan tindakan tegas susulan desakan daripada beberapa pemimpin parti yang mahukan tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








