UMK aktifkan bilik gerakan susulan amaran kemungkinan banjir gelombang kedua
MACHANG – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mula mengaktifkan bilik gerakan banjir susulan ramalan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai kemungkinan berlakunya banjir di kawasan berisiko bermula 14 hingga 17 Disember ini.
Naib Canselor UMK, Datuk Prof Ir Dr Arham Abdullah berkata, pihaknya juga sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan gelombang banjir pertama bulan lalu turut melanda kampusnya di Pengkalan Chepa.
“Susulan ramalan JPS dijangka banjir bermula hari ini, kita mengambil langkah siap sedia dengan mengaktifkan bilik gerakan banjir.
“Kita juga mengingatkan pelajar supaya berada dalam keadaan bersedia dan membuat persiapan yang patut memandangkan kebanyakan pelajar sudah mempunyai pengalaman berdepan banjir bulan lalu.
“Justeru, kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan sekiranya berlaku banjir lagi pada kali ini dan elektrik terpaksa ditutup, maka kita akan melakukan pembelajaran dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Kampung Angkat Madani Mukim Bukit Tiu dibawah UMK yang dirasmikan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah satu unit pam diesel menjadikan pihaknya kini mempunyai lima pam diesel dan elektrik.
“Apabila berlaku hujan lebat, pam ini akan berfungsi untuk menyedut air keluar.
“Pada masa sama, ibu bapa juga diminta supaya tidak bimbang keadaan anak-anak mereka kerana kami akan menjaga pelajar ini dengan baik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








