UFC 319: Chimaev tewaskan du Plessis, raih takhta middleweight
CHICAGO – Hasrat Dricus du Plessis untuk menentang Khamzat Chimaev akhirnya menjadi kenyataan di UFC 319, namun ia bertukar menjadi malam penuh derita buat bekas juara itu.
Dalam pertarungan lima pusingan yang mempamerkan dominasi luar biasa, Chimaev merobek segala kekuatan du Plessis dengan gaya gusti yang sukar ditandingi, sekali gus merangkul tali pinggang middleweight melalui keputusan sebulat suara (50-44, 50-44, 50-44).
Chimaev hanya mengambil masa tujuh saat untuk menjatuhkan lawannya ke kanvas, lalu menguasai hampir keseluruhan 25 minit dengan kawalan lantai selama 21 minit 40 saat.
Statistik jelas memihak kepadanya dengan 12 daripada 17 percubaan takedown berjaya, selain mendaratkan 529 pukulan berbanding hanya 45 daripada du Plessis.
Sepanjang kariernya dalam UFC, du Plessis hanya menghabiskan kurang lima minit di posisi bawah, namun pada pusingan pertama sahaja beliau sudah ‘terkunci’ selama hampir lima minit.
“Dia ibarat selimut. Bukan soal kekuatan fizikal, tetapi seolah-olah dia tahu gerakan saya lebih awal. Saya terpaksa memilih sama ada mahu terus berbaring atau membiarkan dia berada di belakang saya,” kata du Plessis selepas pertarungan.
Walaupun berjaya bangkit di pusingan kelima dan memberi sedikit cabaran pada dua minit terakhir, segalanya sudah terlambat buat pejuang dari Afrika Selatan itu.
Penonton di United Center nyata tidak terhibur dengan corak gusti Chimaev dan membalas dengan sorakan boo ketika beliau ditemu ramah selepas kemenangannya.
Namun, Chimaev kelihatan tenang tanpa terkesan, seolah-olah memberi isyarat bahawa era baharunya di divisyen middleweight baru sahaja bermula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








