BERITA SEMASA

Tunku Putera Johor berjaya raih podium di Fuji

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Litar Fuji Speedway, Jepun, semalam bagi menyaksikan perlumbaan siri GT World Challenge Asia yang disertai dua putera baginda.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan Raja Zarith Sofiah adalah bagi memberi sokongan kepada anakanda baginda, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Dalam perlumbaan pertama pusingan Fuji itu, Tunku Abu Bakar yang bergandingan bersama Jordan Love dalam jentera #66 pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) berjaya meraih tempat ketiga, mencatat pencapaian podium pertama mereka musim ini.

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman yang memandu jentera #99 bersama rakan sepasukan Ben Green menunjukkan pemanduan konsisten dan menamatkan saingan di tempat kelapan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengikuti perkembangan perlumbaan dari ibu negara menzahirkan rasa syukur atas pencapaian membanggakan anakanda bongsu baginda.

“Saya bersyukur Tunku Putera berjaya mendapat keputusan yang baik kali ini dan berharap dia serta abangnya (Tunku Panglima) akan terus memberikan saingan sengit dalam perlumbaan kedua hari ini,” menurut hantaran itu.

Turut berangkat menyaksikan perlumbaan berkenaan ialah Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain serta Tunku Tun Aminah bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Kedua-dua jentera Corvette Z06 GT3.R pasukan JMR dijadualkan memulakan perlumbaan kedua pada hari ini dari barisan hadapan selepas mencatat keputusan cemerlang dalam pusingan kelayakan bagi jentera #99 meraih petak pertama manakala jentera #66 bermula di petak kedua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button