Trump beri bayangan AS pertimbang keluar dari NATO
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini memberi bayangan kuat bahawa AS sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada pakatan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Keputusan itu susulan tindakan sekutu NATO secara sebulat suara enggan menyertai serangan AS dan Israel ke atas Iran, serta menolak gesaan Trump supaya membantu membuka semula Selat Hormuz, lapor portal Politico.
“Saya akan katakan ia sudah melangkaui tahap pertimbangan semula.
“Saya tidak pernah benar-benar yakin dengan NATO. Saya sentiasa tahu ia hanyalah ‘harimau kertas’, dan Vladimir Putin juga tahu perkara itu,” kata Trump.
Beliau berkata demikian dalam temubualnya bersama akhbar The Telegraph apabila ditanya sama ada beliau akan berfikir dua kali tentang keanggotaan AS dalam pakatan itu selepas konflik di Asia Barat berakhir.
Kenyataan beliau disiarkan beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington mungkin perlu menilai semula hubungannya dengan NATO selepas perang dengan Iran berakhir, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas sekutu Eropah yang dituduh AS sebagai tidak memberi sokongan mencukupi.
Trump turut sekali lagi mengkritik Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, kerana keengganannya menyokong AS dalam perang dengan Iran, serta memperkecilkan kekuatan ketenteraan negara itu.
“Anda pun tidak mempunyai angkatan laut. Anda sudah terlalu tua dan mempunyai kapal pengangkut pesawat yang tidak berfungsi,” katanya sinis mengenai armada kapal perang UK.
Bagaimanapun, dari segi undang-undang, Trump tidak mempunyai kuasa veto untuk menarik AS keluar daripada pakatan berkenaan secara unilateral.
Di bawah undang-undang 2023 yang diluluskan semasa pentadbiran bekas presiden Joe Biden, sebarang pengunduran memerlukan sokongan dua pertiga Senat atau satu Akta Kongres.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








