BERITA SEMASA

Trafik di lebuh raya utama mulai sesak berikutan cuti Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR – Pergerakan pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina mula dirasai apabila aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan sejak awal pagi tadi.

Menurut Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di Facebook, peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya bertol sekitar Lembah Klang dikesan seawal pukul 9.23 pagi, namun keadaan masih dalam kawalan.

Antara lokasi yang dilaporkan mula sesak ialah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) khususnya di Plaza Tol Genting Sempah arah Timur.

Bagi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, trafik dilaporkan perlahan dari Rawang ke Bukit Beruntung, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah, selain Skudai ke Kulai serta Machap ke Ayer Hitam.

LLM turut memaklumkan terdapat maklumat awal mengenai kemalangan di Kilometer (KM) 76.0 selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke pusat bandar, yang berkemungkinan menyumbang kepada kesesakan di laluan berkenaan.

Sementara itu, PLUS arah Selatan juga mencatatkan peningkatan jumlah kenderaan antaranya dari Putra Mahkota ke Bandar Ainsdale serta Johor Bahru ke Woodlands dengan trafik sesak di kedua-dua arah.

Di selatan tanah air, Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) dilaporkan sesak dari Tuas menuju ke Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Selain itu, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah Utara mengalami kesesakan dari Putrajaya ke Bandar Saujana Putra, manakala Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pula perlahan dari Puchong Utama ke Puchong Intan.

Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mendapatkan maklumat trafik semasa bagi mengelakkan kelewatan dan kesesakan yang lebih teruk menjelang puncak pergerakan cuti perayaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button