Tok Mat santuni asnaf, berbuka puasa bersama masyarakat di Rembau
REMBAU – Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan meluangkan masa pulang ke kawasan Parlimennya bagi menghadiri majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa bersama masyarakat setempat di Masjid Kariah Kampung Pulau Mampat, petang semalam.
Beliau berkata, majlis yang berlangsung dalam suasana ceria itu turut diisi dengan penyerahan bantuan kepada golongan asnaf fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim sebagai usaha membantu mereka menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.

“Syukur dapat bersama-sama masyarakat setempat dalam suasana yang cukup baik dengan cuaca yang mengizinkan sambil menyantuni penerima sumbangan daripada pelbagai golongan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, majlis berkenaan dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini selaku tuan rumah bersama jawatankuasa penganjur.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr Awaludin Said; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris serta kepimpinan UMNO Bahagian Rembau dan pemimpin setempat.
Selesai berbuka puasa di Masjid Kariah Kampung Pulau Mampat, Mohamad kemudian meneruskan program ke Masjid Kariah Kampung Pulau Besar bagi menunaikan solat Isyak dan tarawih secara berjemaah.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan bantuan Ramadan kepada ahli kariah Kampung Pulau Besar yang terdiri daripada warga emas, golongan asnaf fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim.
Mohamad berharap sumbangan yang disalurkan itu sedikit sebanyak dapat menceriakan penerima dalam menyambut bulan Ramadan.
“Moga sumbangan kecil ini dapat menambah keceriaan penerima dalam menyambut bulan Ramadan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








