LUAR NEGARA

Tentera rejim Israel maut disengat tebuan

BAITULMAQDIS – Seorang askar rejim Zionis maut selepas mengalami reaksi alahan teruk akibat sengatan tebuan ketika sedang mendaki di Bukit Golan pada Jumaat lalu.

Mangsa dikenali sebagai Livneh Shalev, 42, yang juga pengarah pusat komuniti Golan serta bapa kepada lima anak.

Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Poriya berhampiran Tasik Tiberias selepas gagal diselamatkan oleh pasukan perubatan.

Menurut laporan media Ibrani yang memetik kenyataan Persatuan Unit Peninjau Nahal, Shalev berkhidmat sebagai pemandu dalam unit mobiliti Briged ke-228 dan pernah berkhidmat dalam ratusan hari latihan simpanan tentera.

Ketika kejadian, Shalev sedang bercuti pendek bersama keluarganya dan mendaki di Laluan Golan berhampiran Moshav Natur apabila disengat tebuan.

Pasukan paramedik Magen David Adom (MDA) menemui beliau dalam keadaan kritikal sebelum membawanya ke hospital menggunakan helikopter tentera udara Israel sambil melakukan rawatan kecemasan sepanjang perjalanan.

Ketua Majlis Wilayah Golan, Uri Kalner, menyifatkan pemergian Shalev sebagai kehilangan besar kepada komuniti tersebut.

“Kami amat terkejut dan sedih atas pemergian mengejut Livneh Shalev, seorang sahabat dan anggota masyarakat yang dikasihi.

“Beliau baru sahaja memulakan tugas sebagai pengarah pusat komuniti Golan tetapi sudah menunjukkan dedikasi dan visi jelas untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, pakar alahan dari Pusat Perubatan Rambam, Dr Idit Lachover-Rot menjelaskan bahawa sengatan tebuan kebiasaannya tidak mengancam nyawa, namun boleh membawa maut bagi individu yang mempunyai alahan teruk.

“Kira-kira dua peratus populasi mempunyai alahan terhadap bisa lebah atau tebuan.

“Reaksi ini biasanya berlaku selepas sengatan kedua dan seterusnya, namun tiada siapa yang dapat menjelaskan mengapa atau bila alahan itu akan muncul,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button