AGAMABERITA SEMASA

Tarikh lihat anak bulan Zulhijah pada 17 Mei di 29 lokasi seluruh negara

PUTRAJAYA – Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Ahad, 17 Mei 2026 bersamaan 29 Zulkaedah 1447 Hijrah di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini berkata, penetapan tarikh Awal Zulhijah (1 Zulhijah) akan diisytiharkan pada malam hari yang sama melalui siaran radio serta televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Ahad, 17 Mei 2026 bersamaan 29 Zulkaedah 1447 Hijrah.

“Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Awal Zulhijah adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” menurut kenyataan tersebut.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah ialah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Balai Cerap Negeri Sembilan (MAINS); Baitul Hilal Bukit Melawati, Kuala Selangor dan Baitul Hilal Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.

Lokasi lain ialah Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Baitul Hilal Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Di Kedah, lokasinya ialah Stesen Cerapan Hilal Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Stesen Cerapan Hilal Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar.

Lokasi lain adalah Stesen Cerapan Hilal Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Geliga, Kemaman, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Pulau Perhentian, Besut, Terengganu; Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu; Stesen Cerapan Hilal Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan dan Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan.

Selain itu Stesen Cerapan Hilal Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan; Pusat Falak Miri, Esplanade Luak, Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching, Sarawak; Pusat Falak Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.

Tapak Cerapan Hilal Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang; Stesen Cerapan Hilal Gunung Brinchang, Cameron Highlands, Pahang; Menara 188, Kuantan, Pahang dan Menara Universiti Malaysia Sabah serta Kampus Antarabangsa Labuan turut ditetapkan sebagai lokasi melihat anak bulan.

Lokasi lain ialah Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button