BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerja meroboh struktur haram tapak niaga Desa Pandan ikut prosedur sah – DBKL

KUALA LUMPUR – Tindakan mengosongkan tapak perniagaan di kawasan Desa Pandan telah dilaksanakan mengikut prosedur sedia ada secara telus, teratur dan tanpa sebarang unsur penganiayaan terhadap para peniaga, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL.

Menurut DBKL, tindakan tersebut telah melalui beberapa peringkat penting termasuk sesi libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak berkepentingan, termasuk wakil persatuan peniaga dan para peniaga di kawasan terlibat.

“Sebagai langkah susulan, lesen perniagaan bagi sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari lalu.

“Semua peniaga terbabit turut dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari dan diminta untuk mengosongkan tapak masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah DBKL, notis pengosongan turut dikeluarkan pada 4 Julai lalu sebagai langkah terakhir sebelum tindakan meroboh dilakukan.

Walau bagaimanapun, kerja-kerja meroboh yang dijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan insiden kekecohan yang berlaku di lokasi.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 50 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang parang sambil mengamuk dan memaki hamun anggota penguat kuasa DBKL, sebelum dileraikan oleh orang ramai.

Baca juga : Polis tahan lelaki libas parang ketika operasi bersepadu DBKL

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan, pihaknya telah menahan suspek bersama sebilah parang panjang di tempat kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam.

Dalam perkembangan berkaitan, DBKL menjelaskan tindakan pengosongan tapak tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur, kelancaran trafik serta keselamatan kawasan bandar.

“DBKL yakin pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Desa Pandan, khususnya dari aspek infrastruktur, keselamatan dan kemudahan awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button