‘Tanyalah Tun Raus’ – Fahmi jawab persoalan Akmal mengenai RCI Tabung Haji
SENALING – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil meminta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh merujuk kepada Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, Tun Raus Sharif sekiranya masih mempunyai persoalan mengenai penemuan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Menurut beliau, laporan RCI yang baru didedahkan perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia membentangkan pelbagai dapatan berkaitan pengurusan Tabung Haji pada masa lalu.
“Tanyalah dengan Tun Raus. Tun Raus yang jadi Pengerusi RCI. Kami pun baru baca dokumen ini sama dengan orang lain.
“Saya rasa apa yang dibentangkan dalam RCI ini harus membuka mata dan hati kita kepada mungkin corak pengurusan pada waktu itu yang telah mengakibatkan banyak masalah. Dan tak boleh dinafikan ada isu-isu yang berlaku,” katanya ketika ditemui media selepas Ceramah Grand Finale PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di DUN Senaling malam ini.
Fahmi mengulas kenyataan Akmal yang mempersoalkan perbezaan dapatan audit berkaitan kedudukan kewangan Tabung Haji pada tahun 2017.
Sebelum itu, Akmal menerusi hantaran di Facebook mendakwa Tabung Haji mengumumkan keuntungan sebanyak RM3.412 bilion selepas zakat pada tahun 2017 dan angka itu diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan bagaimana audit pihak swasta yang dijalankan kemudiannya mendapati Tabung Haji mengalami kerugian RM4.1 bilion bagi tahun yang sama.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI tidak hanya bersandarkan kepada dapatan firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC), sebaliknya turut melibatkan teguran daripada Bank Negara Malaysia dan Ketua Audit Negara ketika itu.
“Sebenarnya bukan sekadar PwC, Bank Negara pun dah membangkitkan isu selain daripada Ketua Audit Negara pada tahun 2017.
“Ketua Audit Negara ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamad telah menyatakan ada masalah. Bank Negara pula menulis lima pucuk surat berhubung perkara tersebut. Jadi ini bukan semata-mata melibatkan PwC,” katanya lagi.
Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah memastikan sebarang salah laku yang mungkin berlaku disiasat dan tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
“Yang penting, sesiapa yang telah melakukan apa-apa kesalahan, sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku apa-apa kecurangan atau pelanggaran undang-undang, maka mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan.
“Tetapi lebih penting daripada itu, kita kena kembalikan keyakinan pendeposit bahawa Tabung Haji adalah institusi Melayu-Islam yang sangat penting, diurus dengan penuh amanah dan ditadbir dengan baik,” katanya lagi.
Beliau berkata, usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji perlu menjadi keutamaan agar institusi itu terus kekal diyakini oleh jutaan pendeposit di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















