BERITA SEMASA

Tamatkan era doktor kontrak langkah penting reformasi kesihatan – Dzulkefly

KUALA LUMPUR – Usaha menamatkan era doktor kontrak merupakan langkah pertama yang kritikal dalam reformasi sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini memberi fokus kepada pembaharuan sistem secara menyeluruh termasuk melaksanakan pendigitalan sepenuhnya di semua fasiliti kesihatan awam sebelum tahun 2029.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mengurangkan beban birokrasi dan timbunan dokumentasi yang selama ini membelenggu petugas kesihatan.

“Kita mahu doktor kembali kepada tugas hakiki mereka iaitu merawat pesakit. Fokus KKM sekarang bukan lagi sekadar memberikan penjelasan, tetapi mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dzulkefly berkata, beliau memahami tekanan kerja dan cabaran kesihatan mental yang dihadapi petugas kesihatan, justeru sistem sedia ada perlu diperbaiki supaya lebih prihatin selain menjaga maruah warga kesihatan.

Menurutnya, sejak 2023 lebih 14,000 pegawai perubatan telah dilantik ke jawatan tetap manakala 4,500 lagi jawatan tetap untuk pegawai perubatan akan ditawarkan tahun ini.

“Ini adalah komitmen fiskal kerajaan demi memastikan doktor muda kita mempunyai masa depan yang lebih stabil,” katanya lagi.

Beliau berkata, pindaan kepada Akta Perubatan 1971 (Akta 50) turut memperkukuh laluan latihan kepakaran Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan.

“Dengan sasaran 13,000 doktor pakar menjelang 2030, kita mahu tenaga pakar negara terus dihargai dan kekal berkhidmat di tanah air sendiri,” katanya lagi.

Tambah beliau, iltizam KKM adalah untuk membina sistem kesihatan yang mampan, manusiawi dan lestari demi generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button