JENAYAH & MAHKAMAH

Syahredzan sambut baik pembatalan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) sebagai tidak berperlembagaan.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai penting dan telah memperjelaskan dua keputusan berbeza Mahkamah Rayuan yang menimbulkan kekeliruan sejak hampir sedekad lalu.

“Pada 2014, Mahkamah Rayuan dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad lawan Pendakwa Raya telah memutuskan bahawa Seksyen 9(5) bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak sah.

“Saya merupakan salah seorang peguam dalam kes itu dan kami berjaya berhujah bahawa peruntukan tersebut bertentangan dengan hak kebebasan berhimpun.

“Namun beberapa bulan kemudian, Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya lawan R Yuneswaran memberikan keputusan yang bertentangan dan memutuskan bahawa seksyen tersebut adalah sah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Syahredzan, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akhirnya menyelesaikan pertikaian tersebut secara muktamad.

Beliau turut menggesa kerajaan supaya mengambil kira penghakiman itu dalam usaha meminda Akta Perhimpunan Aman seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Kerajaan perlu meneliti alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dan memastikan sebarang pindaan selepas ini benar-benar menepati prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menggesa semua siasatan dan pendakwaan yang melibatkan Seksyen 9(5) dihentikan serta-merta.

“Undang-undang yang telah diisytihar tidak berperlembagaan tidak sewajarnya terus dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak,” katanya lagi.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 9(5) PAA, yang memperuntukkan hukuman terhadap kegagalan memberi notis berhimpun adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button