Sultan Selangor murka penipuan pakej haji, titah tindakan tegas diambil
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita dengan peningkatan kes penipuan membabitkan pakej haji yang semakin berleluasa dan melibatkan ramai rakyat.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap trend jenayah itu yang bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi agama Islam, malah menghina ibadah suci umat Islam yang wajib ditunaikan sekali seumur hidup.
“Beta amat kesal apabila terdapat pihak yang mengambil kesempatan ke atas umat Islam yang benar-benar ingin menunaikan rukun Islam kelima ini.
“Mereka ditipu dengan pakej palsu dan akhirnya tidak dapat berangkat ke Tanah Suci,” titah baginda dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Baginda turut menitahkan agar pihak berkuasa agama dan penguatkuasaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket atau individu yang terbabit dalam penipuan pakej haji ini.
Jelas Sultan Sharafuddin, penipuan sedemikian telah mengakibatkan mangsa bukan sahaja mengalami kerugian kewangan yang besar, malah menanggung kekecewaan dan trauma kerana gagal menunaikan ibadah haji seperti yang diimpikan.
Sehubungan itu, baginda menggesa umat Islam di negara ini agar lebih berwaspada dan hanya berurusan dengan syarikat pelancongan atau agensi pengendali haji yang berlesen serta diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga murah atau janji manis. Semak latar belakang syarikat terlebih dahulu bagi mengelakkan ditipu,” titah baginda lagi.
Sultan Selangor turut berharap satu mekanisme kawal selia yang lebih ketat dan berkesan dapat dilaksanakan segera bagi membendung jenayah ini daripada terus berulang serta mencemar kesucian ibadah haji.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


